Monday 23 September 2013

- Fiqh 1- HUKUM ANJING bahagian 1



BEBERAPA PERSOALAN BERKAITAN ANJING
Disusun oleh : Muzani Anh
Disemak oleh : Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzal Abdul Latif

Anjing merupakan antara haiwan yang termasuk dalam najis mughallazah, begitu juga dengan babi. Babi diqiyaskan kepada anjing kerana terdapat mudarat pada kedua-dua haiwan ini. Mengikut pandangan Mazhab Shafie, anjing adalah termasuk  dalam kategori najis mughallazah (najis berat). Kalau terkena air liur dan najisnya perlu disamak dengan air mutlak 7 kali dan sekali dengan air bercampur tanah. Menyentuh atau memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam.
Anjing merupakan najis ‘ain merangkumi peluh, sisa dan seluruh keturunan anjing itu. Meskipun dalam hadith hanya menyebut berkenaan jilatan anjing kepada bekas perlu disamak,seperti Sabda nabi Saw :

طُهُوْرُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيْهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُوْلاَهُنَّ بِالتُّرَابِ
Dari Abu Hurairah radliyallahu ‘anhu berkata : Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sucinya bejana kamu apabila dijilat airnya oleh anjing adalah dengan dicuci tujuh kali, yang pertama dengan tanah. (HR.Muslim)

 tetapi menurut Mazhab Syafie, mulut adalah anggota yang terbaik bagi anjing itu kerana ia sering membuka mulut dan mengeluarkan lidahnya, tetapi ia tetap dihukum najis. Oleh itu, sudah tentu bahagian badannya yang lain lebih utama dihukum sebagai najis. (rujuk Fiqh Islam Wa Adillatuh). Secara logiknya, apabila mulutnya dan air liur adalah najis maka sumber datangnya air liur juga dira sebagai najis (rujuk Fiqh Berinteraksi dengan Non-Muslim, m/s 61)

Air liur anjing
2  keadaan keturunan anjing:
- anak yang lahir hasil persenyawaan anjing dan khinzir dikira sebagai anjing atau khinzir juga.
- anak yang lahir hasil persenyawaan anjing dengan haiwan suci lain seperti kambing dan lembu dikira najis kerana mengikut hukum anjing. Begitu juga dengan khinzir.

Berkaitan dengan kenajisan anjing,terdapat perbezaan pendapat para ulama, antaranya Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa anjing ialah najis. Imam Syaukani juga mengatakan demikian serta ini adalah pendapat jumhur(majoriti) ulama,. Ada juga yang mengatakan anjing bukan najis seperti dalam Mazhab Maliki. Meskipun demikian, berkaitan dengan tahi anjing, semua ulama bersepakat bahawa ia adalah najis. (Rujuk Fiqh Berinteraksi dengan Non-Muslim).
Dalam matan fiqh iaitu Fath al-Qarib :
“ Dan kulit bangkai menjadi suci dengan proses samak melainkan kulit anjing dan khinzir dan apa yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.”
oleh itu, kita dapat fahami bahawa kenajisan anjing itu ialah pada zat dan ‘ainnya dan kulitnya tidak dapat disucikan walaupun telah disamak.
BILANGAN BASUHAN AIR KETIKA SAMAK
Najis anjing dan babi perlu merupakan najis mughallazah (berat) dan tidak memadai membasuhnya sebanyak satu kali basuhan seperti najis-najis lain. Babi diqiyaskan kepada anjing(dari segi najisnya) kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing. (Rujuk Fiqh Manhaji m/s 47 Jilid 1).
1.    Bilangan basuhan air ketika samak berdasarkan hadith Abu Hurairah :

-  7 kali
basuhan pertama dicampur dengan tanah.
(Rujuk Nailul Authar, m/s 75)

2.    Bilangan basuhan air ketika samak ialah :

- 7 kali
basuhan pertama atau terakhir dicampur dengan tanah.
(Rujuk Fiqh Islam Wa Adillatuh, m/s 161)

·         Basuhan  pertama lebih utama menggunakan air yang dicampur dengan tanah kerana air basuhan seterusnya dapat membersihkannya.
·         Dalam Mazhab Syafie, pendapat yang azhar (kuat) ialah tanah sebagai satu-satunya bahan yang mesti digunakan dan tidak memadai mengunakan sabun.
(Rujuk Fiqh Islam Wa Adillatuh, m/s 161)


Maksud air yang dicampurkan dengan tanah
Dalam Furu’ Masail Wa Usul Wasail, Sheikh Daud al-Fathoni berkata:
“ Air yang bercampur dengan tanah bermaksud air itu digaul dengan tanah. Bukannya hanya dengan melalukan air pada tanah.”
Hikmah membersihkan najis mughallazah dengan air bercampur tanah

ini adalah satu simbolik kepada asal kejadian Nabi Adam sehingga akhirnya anak  cucu Adam dilahirkan dan hidup membesar di atas perut bumi yang dilingkungi tanah hingga akhirnya meninggal dunia dimasukkan ke dalam tanah.( rujuk Furu Masail Wa Usul Wasail , m/s 165)

  Kajian saintifik terhadap tanah menunjukkan bahawa terdapat bacteria yang diperoleh daripada tanah menghasilkan produk yang bernama ivermectin. Ubat ini mampu membunuh cacing yang menyerang manusia dan binatang dengan cara menghalang penyebaran maklumat dalam system saraf cacing. ( Rujuk Al-Quran Saintifik,Bab 88 dan 89)

BERKAITAN TAHI ANJING BANYAK DI JALANAN
Di maafkan tanah jalan yg diyakini najisnya walaupun dgn najis mugallazah, kerana susah mengelakkannya, selagi tidak kekal ain najisnya terasing daripada tanah dan tidak hancur dalam tanah. Sekiranya ain najis terasing dpd tanah maka tidak dimaafkan, walaupun ia menyeluruh pada jalan, atas pendapat yg aujah (pendapat ashab yg terkuat).

Di sebut dalam Nihayah Al-Muhtaj Syarah Al-Minhaj oleh Syaikh Ramli berkata ,
“ tetapi jika najis menyeluruh pada jalan, maka Zarkasyi mempunyai ihtimal (barangkali) dimaafkan dan cenderung kalamnya kepada berpegang kpd maaf.”

Syaikh Ibnu Hajar telah berfatwa sekiranya jalan tidak mempunyai tanah, dan di dalamnya terdapat najis manusia dan anjing, dan telah ditimpa hujan, bahwa ia dimaafkan, ketika susah megelakkannya.
 (Fathul Muin, 1/105 bersama I’anah Tolibin)

bersambung...

- Akhlak 1 - akhlak pada bukan muslim

Diriwayatkan oleh Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Tazkirah al Huffaz bahawa kisah kumpulan bukan muslim yang mengiringi jenazah seorang ulama ke kuburnya.

Ketika Mansur bin Zadzan iaitu seorang ahli hadith meninggal dunia, Abbad bin al awwam menyaksikan sekelompok kaum yahudi dan majusi turut hadir dalam majlis pengkebumian beliau.

Ibnu Jawzi pula meriwayatkan dalam Manaqib Imam Ahmad bahawa al Warkani berkata," pada hari kematian Imam Ahmad, majlis takziah dilakukan oleh 4 kelompok manusia iaitu kaum muslimin, kaum yahudi,kaum nasrani dan kaum majusi.

Bagind Nabi SAW juga amat menekankan kita untuk menunjukkan akhlak yang baik terhadap orang bukan Islam. Hal ini sebagai satu dakwah kepada mereka dan ternyata dakwah melalui akhlak merupakan cara yang terbaik. Bukan sahaja dapat menarim seorang untuk memeluk Islam bahkan satu bangsa tertarik untuk memeluk Islam sebagaimana yang berlalku pada bangsa Mongol.

Moga kita semua dapat menghayati kisah ini dan mengambil pengajaran yang sangat bermanfaat dan berguna ini.

Oleh :
Muzani Anh al- Kajani

Rujukan :
Rasul mulia,umat mulia, akhlak mulia oleh ust umar mohd noor
M/s 4-5

r